Khamis, 16 April 2009

ARKIB : 07/03/2009
Gagal kerjasama, tanah diambil balik

BANDAR JENGKA 6 Mac - Kerajaan Pahang memberi amaran akan mengambil semula tanah jika peneroka gagal bekerjasama dengan Felda bagi melaksanakan pelbagai projek ladang secara komersial.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak menegaskan, pihaknya kesal kerana masih ada peneroka yang tidak mahu bekerjasama dengan Felda walaupun agensi itu bersungguh-sungguh berhasrat membantu mereka.
''Mana-mana peneroka yang degil perlu menyerahkan kembali tanah itu kepada kerajaan negeri supaya dapat diberi kepada pihak yang benar-benar mahu bekerjasama dengan Felda.
''Kerajaan negeri dan Felda sanggup membayar harga tanah seluas empat hektar itu mengikut penilaian semasa,'' katanya kepada pemberita selepas majlis bersama pemimpin di Dewan Mat Kilau di Felda Jengka 24 di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din; Pengurus Felda Jengka 24, Roslan Sidek; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 24, Raimi Yusof Wasik dan Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita Wilayah Jengka, Azizah Ahmad.
Tegas Tan Mohd. Aminuddin, peneroka sepatutnya merasa bertuah kerana memiliki tanah seluas empat hektar berbanding penduduk kampung tradisional yang hanya diberikan tanah seluas dua hektar sebagai peserta projek tanah kelompok.
Beliau yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Felda menegaskan, Felda merancang pelbagai program pembangunan ladang untuk membantu menaikkan taraf hidup peneroka.
Menurutnya, pelbagai insentif disediakan kepada keluarga peneroka supaya taraf hidup mereka setanding kaum lain.
Sehubungan itu, katanya, sikap peneroka yang tidak bekerjasama dengan Felda bertentangan dengan aspirasi kerajaan yang mahukan mereka bersatu, bermuafakat dan bersyukur.
''Kerjasama itu penting bagi memudahkan kerajaan membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjadi masyarakat golongan menengah," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Tan Mohd. Aminuddin menggesa peneroka menjayakan program taman dapur dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing.
Katanya, kemelesetan ekonomi dunia yang turut melanda negara ini memerlukan usaha dan strategi peneroka bagi mengurangkan kesannya melalui kegiatan pertanian.

ARKIB : 10/03/2009
Peneroka dakwa ditipu

JOHOR BAHRU 9 Mac - Seorang peneroka Felda Tenggaroh Enam dekat Mersing membuat laporan polis kerana mendakwa menjadi mangsa penyelewengan bayaran jualan sawit oleh kakitangan pejabat Felda di kawasan itu.
Abdul Kahar Hamzah, 56, berkata, dia menyedari perkara itu selepas menyemak penyata pendapatan 2008 yang tidak sepadan dengan jumlah bayaran pada resit yang dikeluarkan Ibu Pejabat Felda.
"Saya ada terdengar tentang penyelewengan dalam pembayaran itu, kemudian saya membuat semakan penyata dan mendapati berlaku penyelewengan dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dakwanya, perkara tersebut disyaki telah berlarutan sejak 2008 dan membabitkan hampir keseluruhan pendapatan peneroka Felda kawasan itu.
"Sepatutnya pada Januari 2008 saya menerima bayaran RM2,850 tetapi saya hanya menerima RM2,750 dan sepanjang 2008 pendapatan saya setiap bulan kurang antara RM100 ke RM200.
"Perkara ini sememangnya tidak boleh dibiarkan kerana ia melibatkan pendapatan peneroka di sini," tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rasit ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan itu dan siasatan akan dijalankan.
Dalam perkembangan sama, Penyelia Kanan Pejabat Felda Tenggaroh Enam, Ismail Sani, ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat kesahihan perkara itu sama ada wujud penyelewengan atau sebaliknya.
ARKIB : 27/02/2009
22 Peneroka rayu bayaran
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAHutusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 26 Feb. - Seramai 22 peneroka dari Felda Penggeli Timur dan Felda Linggiu merayu agar Felda membayar baki bayaran tanaman semula berjumlah antara kira-kira RM8,000 hingga RM9,000 seorang.
Wakil peneroka berkenaan, Ha- shim Martau, 68, mendakwa, mereka tidak dapat menerima keputusan Felda menggantikan baki bayaran tersebut dalam bentuk input pertanian seperti baja pokok sawit.
Dia mendakwa, pihaknya yang menguruskan kebun secara persendirian sejak 25 tahun lalu tidak pernah menandatangani perjanjian yang membolehkan Felda membuat langkah seperti itu.
"Kami merayu agar tuntutan dipenuhi kerana kami tidak pernah terikat dengan sebarang perjanjian dengan Felda untuk menggantikan baki bayaran tanaman semula kami dengan baja," katanya ketika ditemui di pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., di sini hari ini.
Dia berkata, mereka tidak memerlukan bayaran dalam bentuk baja kerana telah mempunyai baja sendiri.
Menurut Hashim, dia menerima bayaran tanaman semula pertama antara kira-kira RM6,000 hingga RM8,000 pada Oktober tahun lalu.
Namun katanya, Felda menghantar satu surat makluman kepada Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Cawangan Felda Penggeli Timur untuk tidak membayar baki bayaran berkenaan pada 23 Februari lalu.
"Kami sudah berjumpa Pengurus Felda Penggeli Timur tetapi dimaklumkan bahawa baki bayaran itu tidak boleh dikeluarkan atas arahan ibu pejabat di Kuala Lumpur.
"Apa yang berlaku ini cukup mengecewakan kami kerana hak kami sebagai peneroka Felda tidak boleh dituntut," katanya

15hb April 2oo9
SALAM PERKENALAN,

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan atau ringkasannya `ANAK` diwujudkan terdiri daripada kalangan anak/cucu/cicit peneroka sahaja.

Bertujuan untuk mengembeling tenaga demi memastikan warga Felda terbela dan mengimbangi kepesatan dan kejayaan Felda agar peneroka Felda juga tidak ketinggalan untuk menikmati kejayaan dan kekayaan Felda.